Saturday 6 August 2011

Faktor kegagalan sukan di peringkat sekolah.

Banyak kelemahan dapat dilihat jika menyorot bentuk budaya bersukan di kalangan masyarakat khususnya di peringkat sekolah.

Antara kelemahan itu ialah kegiatan sukan berlangsung secara bermusim dan hanya membabitkan kelompok pelajar yang tertentu yang dianggap 'atlet sekolah' sahaja.

Jika pada satu tempoh itu berlangsung dua kejohanan, contohnya bola sepak dan hoki maka berlaku perebutan pemain untuk dua acara itu di kalangan jurulatih.

Jarang jurulatih cuba membentuk pelajar yang kurang terdedah dengan sesuatu jenis permainan walaupun mungkin mereka mempunyai bakat terpendam.

Mereka mengambil jalan pintas dengan memilih pelajar yang menonjol hingga akhirnya seseorang pelajar itu terpaksa bermain daripada satu jenis sukan.

Keadaan ini tidak baik kepada pemain tersebut kerana keletihan akibat terlalu banyak beraksi dalam acara sukan yang berbeza.

Mereka juga tidak dapat beraksi dengan cemerlang kerana fokus terhadap sesuatu jenis permainan menjadi tidak mantap.

Mampukah negara melahirkan pemain bertaraf dunia jika mereka tidak dapat memberi fokus kepada sesi latihan terutama yang berkaitan dengan kemahiran taktik?

Latihan sesuatu jenis permainan pula berlangsung dalam tempoh yang singkat dan dibuat seolah-olah melepaskan batuk di tangga.

Ada sesetengah jurulatih hanya mengumpul dan melatih pasukannya dalam tempoh tiga hari sebelum beraksi dalam sesuatu kejohanan.

Selepas selesai sesuatu kejohanan dan ditakdirkan kalah, maka latihan seterusnya pula akan dibuat pada tahun berikutnya dengan cara dan kaedah yang sama.

Lebih mengejutkan, ada jurulatih langsung tidak mengadakan sesi latihan bahkan memilih pelajar yang biasa bersukan untuk mewakili sesuatu permainan.

Seorang guru di sebuah sekolah mendedahkan, ada guru lain mahu pemain pasukan bola sepak yang sedang dilatihnya untuk bertanding dalam kejohanan bola baling.

Sudah tentu penyertaan pelajar dalam kejohanan bola baling itu satu pembaziran dan merugikan banyak perkara.

Mereka bukan sahaja akan pulang dengan tangan kosong, malah tidak akan berjaya memupuk kemahiran untuk pergi lebih jauh dalam permainan itu.

Sepatutnya, pasukan itu lama berlatih sebelum sesuatu kejohanan, malah jika diteliti budaya bersukan di negara lain, pemain dibentuk sejak zaman kanak-kanak.

Langkah guru bola baling itu menampakkan dia terlalu ambil mudah dan tidak bersedia bekerja keras sedikit untuk memupuk bakat pelajar secara tersusun.

BRYAN NICKSON LOMAS hanya mampu menumpukan kepada satu acara sejak di bangku sekolah.


Jika guru itu lebih bertanggungjawab mungkin dia dapat mengesan pelajar lain yang lebih berbakat dan membawanya ke peringkat lebih tinggi.

Hal itu mungkin berlaku disebabkan guru itu ketiadaan motivasi, tidak berpengetahuan dalam sesuatu jenis permainan dan lebih parah, tidak cuba belajar.

Guru sebegini kerap menganggap apa-apa tugasan kepada mereka sebagai suatu perkara yang membuang masa dan menyulitkan.

Kemungkinan lain ialah wujud situasi komunikasi atau hubungan yang tidak mesra antara guru tersebut dengan pihak sekolah.

Jika andaian ini benar, kemungkinannya cuma dua iaitu mungkin guru itu sendiri bermasalah atau pihak pentadbir terlalu ego.

Dari sudut yang lain pula, kebanyakan guru sukan tidak memiliki kelulusan dalam bidang berkaitan apatah lagi sijil kejurulatihan peringkat tinggi.

Mereka hanya jurulatih yang dipilih secara tangkap muat oleh pentadbir tanpa memikirkan mampu atau tidak mereka laksanakan tanggungjawab itu.

Guru berkenaan pula tidak mengambil inisiatif mengundang jurulatih luar seperti bekas pemain daerah atau negeri membimbing pasukannya.

Pelajar hanya 'berlatih sendiri' dan sedangkan guru hanya duduk di tepi padang dengan pakaian formal seperti ketika mengajar di bilik darjah.

Ada juga pentadbir tidak membenarkan guru mendalami ilmu pengurusan dan kejurulatihan anjuran pihak lain dengan alasan takut kelas kosong.

Mereka beranggapan, tugas utama guru berada di bilik darjah pada hal sudah jelas Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) turut mengutamakan aspek lain termasuk jasmani.

Turut menghalang negara cemerlang dalam bidang sukan ialah sikap pentadbir yang terlalu berkira membenarkan guru membuat tuntutan tugas luar daerah.

Pelbagai halangan dibuat antaranya mengehadkan jarak membuat tuntutan perjalanan, tidak membenarkan tuntutan makan minum dan dan tidak membayar kos penginapan.

Dalam banyak keadaan tidak ada 'duit minyak' diberi kepada guru walaupun mereka menghabiskan ratusan ringgit membawa pelajar bertanding.

Perkara ini lebih parah jika guru yang komited dalam bidang sukan berhadapan dengan pengetua perempuan yang terlalu prejudis dan sukar diajak berbincang.

Sikap tidak profesional itu turut membabitkan pengetua lelaki, bahkan Kosmo! pernah menerima aduan guru bahawa ketuanya meminta dia tidak aktif bersukan.

Pengetua itu dikatakan tidak senang dengan kecenderungan gurunya bersukan walaupun pasukan yang diwakili guru itu pasukan negerinya.

Pada masa yang sama, sesetengah pentadbir sekolah cuma memilih permainan tertentu dan tidak cuba mempopularkan sukan atau permainan lain.

Sebarang usaha guru untuk mempopularkan sesuatu jenis permainan yang tidak selari ketetapan pihak pentadbir tidak akan dilayan.

Alasan ketiadaan dana untuk melaksanakan kegiatan yang tidak digemari pentadbir sering terjadi dan ini membunuh prospek serta minat terhadap kemajuan sukan.

Sesuatu jenis permainan itu biarpun disenaraikan sebagai sukan pilihan, tidak dilaksanakan sepanjang tahun atas pelbagai alasan.

Biasanya, kegiatan bersukan dilangsungkan setakat pertengahan tahun itu pun lama, malah di sesetengah sekolah kegiatan itu hanya dibenarkan setakat bulan Mac.

Pihak pentadbir memberi alasan bahawa tumpuan terhadap kurikulum khususnya peperiksaan lebih penting dan menjamin masa depan pelajar.

Dalam erti kata lain, sukan langsung tiada jaminan masa depan malah membuang masa pelajar berbanding lulus peperiksaan.

Pernah berlaku pertelingkahan di kalangan pentadbir sekolah mengenai perkara ini hingga meletakkan pelajar berada dalam keadaan tersepit.

Dalam kes ini, Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran tidak memberi laluan kepada GPK Kokurikulum menganjurkan permainan selepas bulan Jun.

Insiden ini menunjukkan bahawa usaha menjadikan sukan sebagai satu budaya di sesebuah sekolah mempunyai jalan yang sangat berliku.

Hal ini ditambah oleh sikap terlalu terikat dengan yang dirangka pihak yang lebih atas terutama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Pentadbir sekolah 'gerun' untuk meneruskan kegiatan sukan pada penggal kedua kerana kononnya pelajar tidak akan ke mana walaupun cemerlang dalam bidang sukan.

Pelajar yang tinggal di asrama pula jarang digalakkan menganjurkan pertandingan sukan, sebaliknya mereka 'dipaksa' cemerlang dalam bidang akademik.

Mereka terpaksa berwatak 'ayam daging' yang hanya bergerak dalam dunia yang sempit dan penuh dengan buku pelajaran.

Kini, memang sukar melihat pelajar berpakat menganjurkan kejohanan sukan antara kelas, sebaliknya setiap hari mereka disogokkan dengan kepentingan akademik.

Akhirnya pelajar membesar dan bukan saja dalam keadaan tidak aktif dan tidak mahir bersukan, bahkan langsung tidak berminat dengan bidang itu.

Jika masyarakat negara ini dibentuk melalui persekitaran itu apakah kita berhak mengutuk pencapaian atlet dalam sesuatu temasya peringkat dunia?

Jawapannya tentulah tidak. Cendekiawan pernah berkata, apa yang kita tanam hari ini itulah yang yang akan kita tuai esok hari.

Jadi, ketika kita meletakkan sukan di penjuru kehidupan, kita jangan bercakap soal kecemerlangan apatah lagi membandingkan atlet kita dengan atlet negara lain.

No comments:

Post a Comment