Friday, 8 July 2011

Perasaan saya menjadi rakyat Malaysia

Pada pemahaman saya , Malaysia ialah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan.Ini membawa maksud rakyat Malaysia sendiri yang mengurus dan mentadbirkan negara kita tanpa campur tangan negara asing. Manakala berdaulat pula boleh ditakrifkan sebagai had sesebuah negara yang perlu dihormati oleh negara-negara lain. Dari segi kedaulatan, Malaysia merupakan sebuah negara yang diiktiraf oleh pihak antarabangsa. Negara kita Malaysia terbentuk pada 16 September 1963.

Negara kita Malaysia ialah sebuah negara yang berkerajaan. Berkerajaan bermaksud negara yang mempunyai sistem pemerintahan yang teratur dan tersusun.Kerajaan di Malaysia terbentuk melalui pilihanraya yang diadakan setiap lima tahun sekali.Melalui pilihanraya rakyat bebas memilih sesiapa sahaja yang dirasakan layak untuk mentadbir negara kita.

Malaysia mengamalkan konsep raja berperlembagaan di mana Yang Dipertuan Agong menjadi ketua negara.Malaysia , manakala ketua pentadbiran negara kita ialah Perdana Menteri yang dilantik dikalangan parti-parti politik yang memenangi pilihanraya.

Negara Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang bangsa dan agama. Terdapat tiga kaum yang terbesar iaitu Melayu, Cina dan juga India. Semua rakyat di negara kita bebas beragama dan agama Islam ialah agama rasmi rakyat Malaysia. Semua hak-hak antara kaum adalah terjamin dalam perlembagaan negara kita.

Saya begitu bangga dan bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia dan menjadi sebahagian daripada penduduk Malaysia. Ini adalah kerana Malaysia ialah sebuah negara yang aman lagi makmur serta sentosa. Walaupun rakyat negara kita berbilang bangsa dan agama, namun kita dapat mengekalkan perpaduan antara 3 kaum yang terbesar di negara kita iaitu kaum Melayu, Cina dan India.Walaupun berlainan bangsa dan agama, namun rakyat kita masih dapat berkongsi hidup dalam aman dan damai.Kedamaian yang kita ada pada hari ini sukar untuk dilihat di negara lain, contohya di selatan Thailand dan juga di sebahagian negeri di negara India. Banyak berlaku pertumpahan darah, menyebabkan penduduk di negeri itu hidup dalam ketakutan setiap masa. Ini tidak berlaku di negara kita, di mana penduduk bebas menjalankan kerja-kerja seharian tanpa perlu risau atas keselamatan diri sendiri.

Negara kita mempunyai penduduk yang berbilang bangsa dan agama. Maka kita dapat melihat pelbagai perayaan disambut di negara kita dengan penuh harmoni. Antara perayaan yang terdapat di negara kita ialah Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Haji, Sambutan Baru Cina, Hari Deepavali, Hari Wesak, Krismas, Hari Gawai dan lain-lain perayaan. Sambutan yang pelbagai ini hanya dapat dilihat di negara kita yang disambut bersama-sama oleh semua bangsa tanpa ada perasaan curiga dan prejudis. Inilah keistimewaan dan bangganya saya menjadi sebahagian dari rakyat Malaysia. Perayaan ini tidak akan dapat kita lihat di negara lain yang penduduk mereka tidak berbilang bangsa dan agama. Dengan hanya tinggal di Malaysia sahaja, saya dapat melihat pelbagai sambutan agama tanpa perlu pergi ke luar negara untuk melihat semua itu.

Seperkara yang membuatkan saya bangga menjadi rakyat Malaysia ialah kerana kestabilan politik di negara kita. Ini mungkin berlaku kerana faktor perkongsian kuasa politik dikalangan kaum di negara kita. Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO, MCA, MIC, Gerakan,USNO dan beberapa lagi parti telah berkongsi kuasa untuk sama-sama membangun ekonomi negara kita. Pembahagian kuasa yang adil menyebabkan tidak berlaku perebutan kuasa negara kita dan juga rusuhan kaum kecuali pada 13 Mei 1969. Dengan berlaku kestabilan politik ini menyebabkan negara kita dapat membangun dengan begitu cepat daripada sebuah negara yang miskin dan hanya berteraskan pertanian menjadi sebuah negara yang maju pada hari ini. Perkara ini haruslah disyukuri oleh semua rakyat Malaysia atas kestabilan politik. Ini tidak berlaku di negara jiran kita seperti di Thailand dimana selalu berlaku rampasan kuasa dikalangan pihak tentera dan rusuhan oleh parti politik yang menjejaskan kestabilan negara tersebut.

Saya juga berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana negara kita sekarang begitu terkenal di mata dunia kerana pemimpin kita yang berwawasan dan berpandangan jauh. Banyak kejayaan yang telah dilakukan oleh pemimpin negara kita untuk membangun negara kita yang tercinta ini. Sudah tentulah saya begitu terhutang budi dengan Perdana Menteri kita yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad di mana beliau juga digelar Bapa Pemodenan Malaysia. Di bawah pentadbiran beliau begitu banyak mercu tanda di bina seperti Putrajaya, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan lain-lain lagi.Beliau berjaya meletak Malaysia di mata dunia atas kejayaan memajukan negara kita dan juga ketegasan beliau seperti isu serangan matawang oleh George Soros pada tahun 1997. Kemajuan yang dibuatnya dan ketegasan dirinya dalam sesetengah isu antarabangsa menaikkan jati bangsa Melayu yang telah lama dijajah oleh pelbagai negara seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan juga Jepun. Atas sumbangannya maka negara kita sekarang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara yang pada satu masa dulu pernah menjajah negara kita.

Walaupun perasaan bangga terhadap negara kita yang aman makmur ini, terasa sedikit terkilan di hati saya atas kehadiran terlalu ramai pendatang asing ke negara kita.Pemimpin negara kita harus peka dengan kehadiran warga asing yang masuk ke negara kita sama ada secara halal atau haram. Kehadiran terlalu ramai pendatang asing kadang-kadang mendatangkan kecurigaan penduduk setempat amnya dan kepada negara kita juga satu hari nanti. Bak kata pepatah ‘kera di hutan disusukan anak sendiri mati kelaparan’. Kita tidak mahu sejarah lama berulang dimana atas sikap malas dan terlalu mengharapkan tenaga asing maka tidak mustahil satu hari nanti negara kita akan terjajah secara tidak langsung.Akhirnya bersama-samalah kita membangunkan bumi kita yang tercinta ini. MALAYSIA nama mu akan terpahat di persada dunia. Kami bangga menjadi rakyatmu. MALAYSIA BOLEH.

5 comments:

  1. berbanggalah menjadi rakyat malaysia

    ReplyDelete
  2. Begitu indah sekali ungkapan yang diberikan dalam menggambarkan betapa bangganya menjadi rakyat Malaysia. Bagi saya, itu hanyalah sebahagian yang dapat dirungkaikan kerana yang lain-lainnya tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Saya juga bangga menjadi rakyat Malaysia... MALAYSIA BOLEH...

    ReplyDelete
  3. Ya betul kata ckg azura tu, tak boleh tertulis semuanya dengan kata2

    ReplyDelete
  4. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu sentiasa bersyukur dengan keamanan yang diperoleh sejak dulu lagi.

    ReplyDelete